Friday, July 31, 2009

KEGEMBIRAANKU!: Amalan Penerang Hati

KEGEMBIRAANKU!: Amalan Penerang Hatihttp://nroslan1.com.blogspot.com/2009/07/amalan-penerang-hati.html

PERANAN GURU DALAM MEMBENTUK GENERASI YANG BERMORAL PADA MASA AKAN DATANG.

Ditulis bersama oleh : Rozita & Noradibah Roslan (OUM 2008)


Pendahuluan


Peranan guru sebagai pendidik bagi membentuk generasi yang bermoral pada masa sekarang dan masa akan datang adalah sangat penting. Di mana guru bukan saja menyampaikan ilmu tetapi membentuk insan yang berketrampilan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan spiritual. Guru yang memainkan peranan yang berkaitan dengan memberi bantuan dan semangat, memerhati dan membentuk sahsiah yang murni dan mendisiplinkan pelajar-pelajar supaya patuh terhadap peraturan-peraturan sekolah dan norma hidup dalam keluarga dan masyarakat.

Guru Pendidikan Moral mempunyai tanggungjawab yang penting. Selain daripada perlu menyampaikan pelajarannya dengan berkesan beliau perlu menjadi contoh kepada pelajarnya. Guru Pendidikan Moral bukan sahaja mengajarkan nilai-nilai moral kepada murid-murid tetapi harus menghayati serta mengamalkannya. Mereka ialah ‘Role Model’ yang merupakan kayu ukur kepada perkembangan moral pada pandangan pelbagai pihak, khususnya pelajar-pelajar di sekolah tersebut.


2. Peranan guru dalam melahirkan insan bermoral.


Peranan guru Pendidikan Moral harus sedar bahawa murid-murid yang datang ke sekolah telah mempelajari pendidikan moral di rumah daripada keluarga dan masyarakat. Ini bermakna kanak-kanak telah mempunyai sikap, kepercayaan dan tabiat tentang moral yang dipelajari mereka daripada pelbagai sumber sebelum mereka ke sekolah. Kerencaman latar belakang ini mewujudkan pelbagai persoalan moral dari segi pengetahuan amalan dan prinsip hidup kanak-kanak yang masih boleh dilentur (Maznah, t.t:2).


Guru Pendidikan Moral juga harus sedar bahawa sekolah itu sendiri merupakan sumber pembelajaran moral secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara tidak langsung kepada pembelajaran moral kanak-kanak di sekolah. Guru Pendidikan Moral mesti menerima hakikat bahawa nilai-nilai moral sudah tertanam dalam diri murid-murid. Guru haruslah bersedia untuk mengajar Pendidikan Moral dengan mengambil kira pengetahuan dan pembelajaran moral yang sedia ada. Guru dikehendaki memperkembangkan pengetahuan moral murid-murid ini dan membimbing mereka semasa pengajaran Pendidikan Moral dilaksanakan. Pendidikan Moral di sekolah digunakan untuk memperkembangkan pengetahuan moral kanak-kanak ke arah mencapai matlamat kurikulum untuk melahirkan individu yang bermoral tinggi (Maznah, t.t:2).


Bagi membolehkan guru memainkan peranan bagi melahirkan generasi yang bermoral, ianya boleh dilihat dari lima peranan penting dalam melahirkan insan bermoral. Peranan tersebut ialah seperti berikut :

2.1 Menyampaikan ilmu (Mu’allim). Ilmu pengetahuan yang benar dan diyakini akan menjadikan seseorang individu itu berpegang teguh dalam amalannya. Guru berperanan untuk menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan yang bermoral. Guru harus menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Ini bersesuaian dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang menekankan nilai-nilai murni merentasi kurikulum (Saharudin, 2008:10).


2.2 Menjayakan proses pendidikan/tarbiyah (Murabbi). Guru sejati, guru cemerlang dan guru yang baik adalah guru yang menjayakan proses tarbiyah. Proses ini adalah dari mendidik anak-anak tidak tahu membaca kepada bolah membaca sehingga menjadi pemimpin Negara. Guru Murabbi adalah guru segala-galanya. Oleh yang demikian, guru seharusnya sentiasa peka kepada perubahan. Perubahan yang berkaitan dengan profesionnya dan juga perubahan lain yang berlaku di sekelilingnya. Guru Murabbi sentiasa berpegang teguh dan memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk mengajar dan mendidik serta memberi teladan kepada murid-muridnya. Guru Murabbi juga sentiasa faham dengan tugas guru yang mulia. Beliau menjadikan sekolah sebagai rumah dan syurganya, yang sentiasa memerangi kejahilan, kebodohan, kelemahan dan kelalaian diri dan murid-muridnya (Saharudin, 2008:10).


2.3 Memperkembangkan kemahiran (Mudarris). Guru-guru berperanan untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-muridnya. Kemahiran dalaman guru menurut Ranjit Singh Malhi dalam bukunya, “Success depends on Teachers” memberi ulasan kepada PIPP yang merangkumi empat aspek utama iaitu; kemahiran sikap peribadi (personal attributes), kemahiran penampilan diri (interpersonal), kemahiran menyelesaikan masalah, dan kemahiran membuat keputusan.


Kemahiran sikap peribadi (personal attributes), melibatkan berpegang teguh kepada etika kerja, kemahiran menghormati iaitu menghormati pelanggan dan orang-orang lain serta persekitarannya. Contohnya guru perlu mempunyai kemahiran menghormati murid sebagai pelanggan operasi, seperti tidak mengaitkan apa-apa yang boleh menyentuh perasaan secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mereka (Saharudin, 2008:10).


Kemahiran penampilan diri (interpersonal) pula berkaitan kemahiran seseorang guru dalam menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Kemahiran luaran melibatkan kemahiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan lain perkataan kemahiran menggunakan alat-alat yang terlibat dalam proses pengajaran atau pedagogi pengajaran. Contohnya, guru seharusnya mempunyai kemahiran menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan tahap dan kebolehan murid. Proses pengajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekiranya guru menggunakan peralatan bantu mengajar terkini seperti komputer, alat tayang digital (LCD) dan mahir melayari internet untuk mendapatkan sumber maklumat dan ilmu terkini selaras dengan misi untuk mewujudkan sumber maklumat dan ilmu terkini selaras dengan misi untuk mewujudkan sumber pendidikan bertaraf dunia dan seterusnya mencapai misi nasional (Saharudin, 2008:10).


2.4 Mendidik adab dan budi pekerti (Mu’addib). Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru berperanan untuk mengembangkan potensi insan yang berakhlak mulia, seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Guru mu’addib adalah guru yang menganjarkan adab dan budi pekerti. Dalam hal ini, guru berusaha memastikan adab dan budi pekertinya adalah ditahap yang cemerlang. Ini adalah kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru tidak seharusnya umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Perbuatan ini amat dibenci oleh Allah (Tuhan sekalian Alam) seperti firmannya “amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu menyatakan apa-apa yang kamu tidak berjalan” (Surah Ash-Shaff ayat 3).


Guru Mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Antara nilai murni yang perlu ada pada seseorang guru adalah sifat daya tahan dan tidak mudah menyerah kalah. Sifat yang demikian akan menjadikan guru lebih bermotivasi, kreatif dan inovatif. Guru yang mu’addib akan memandang ke hadapan dan tidak mudah menyerah kalah. Guru seperti ini sentiasa berfikir “Jika tidak boleh melalui satu pintu, saya akan keluar mengikut pintu lain atau saya akan buat pintu lain. Sesuatu yang saya mahu akan menjadi, sama ada dalam gelap atau dalam terang”. Sikap inilah yang boleh menjadikan martabat guru dijulang tinggi dan terus berusaha tanpa mengira jemu dan putus asa terutama dalam mendidik generasi akan datang (Saharudin, 2008:11).


2.5 Melahirkan pemimpin generasi akan datang (Mursyid). Guru adalah pemimpin bahkan juga kepada pemimpin yang sedia ada. Di dalam sajak Usman Awang, beliau menyatakan, “jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, jika hari ini seorang raja menaiki tahta, jika hari ini seorang presiden sebuah Negara, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa”. Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan yang berat dan ini adalah peranan dan tugas yang terletak di bahu guru. Dilihat dari sejarah kita, ramai pemimpin Negara ini asalnya seorang guru dan para pemimpin mendapat didikan dari guru. Oleh yang demikian, sejarah membuktikan bahawa guru Mursyid adalah pemimpin dan membentuk kepimpinan insaniah (Saharudin, 2008:11).


3. Bidang-bidang dalam Pendidikan Moral.


Melalui peranan-peranan guru di atas, ianya boleh dipraktikkan mengikut lima bidang pembelajaran yang terdapat dalam Pendidikan Moral. Bidang pembelajaran tersebut adalah :

1. Nilai berkaitan dengan Perkembangan diri.

2. Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga.

3. Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat.

4. Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar.

5. Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara (Rahmad, 2008:94).


3.1 Nilai berkaitan dengan Perkembangan diri.

Dalam bidang pertama iaitu nilai berkaitan dengan Perkembangan diri seperti kepercayaan kepada Tuhan, kebersihan fizikal dan mental, harga diri kerajinan, hemah tinggi, kasih sayang, kesederhanaan kejujuran, baik hati dan berterima kasih. Nilai-nilai ini yang perlu diterapkan bagi membentuk perkembangan diri dalam membentuk generasi baru yang bermoral.


Di sini guru boleh memainkan peranan penting sebagai Mu’allim, Murabbi, Mudarris, Mu’addib dan Mursyid. Contohnya, salah satu perkembangan diri iaitu nilai keyakinan wujudnya Tuhan. Guru sebagai Mu’allim iaitu orang yang berpengetahuan akan memainkan peranan menerapkan nilai tersebut ke dalam diri murid supaya meyakini kewujudan Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhanNya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara. Sebagai Mu’allim, adalah penting menekankan kepentingan berpegangan kepada agama sebagai pedoman hidup yang juga merupakan tuntutan semua agama dan tanggungjawab bersama mengamalkannya. Penerapan amalan baik dituntut oleh setiap agama seperti bermaaf-maafan dan bersyukur.


Di sinilah guru akan memainkan peranan, bukan sahaja sebagai Mu’allim tetapi juga Murabbi iaitu memainkan peranan sebagai menjayakan proses pendidikan. Sebagai Murabbi, guru perlu menggalakkan murid-murid mengamal dan menghayati cara hidup mengikut tuntutan agama masing-masingi seperti bagi agama Kristian pergi ke gereja, Buddha ke tokong manakala Hindu ke kuil untuk beribadah dan berdoa.


Manakala guru sebagai Mudarris iaitu memperkembangkan kemahiran dengan cara mengadakan perbincangan tentang amalan baik mengikut ajaran agama masing-masing. Melalui perbincangan ini, murid-murid akan mengutarakan cara mereka mengamalkan agama masing-masing dan menceritakan keseronokan mereka ketika menyambut perayaan agama mereka. Guru sebagai Mudarris akan menggalakkan murid-murid terlibat dalam aktiviti kumpulan dengan aktif, di mana secara tidak langsung ianya meningkatkan kemahiran berkomunikasi mereka serta menunjukkan kemahiran interpersonal mereka.


Melalui aktiviti main peranan, guru bolehlah memainkan peranannya sebagai Mu’addib iaitu sebagai pendidik adab dan budi pekerti dalam aktiviti ini. Guru mewujudkan situasi perayaan Deepavali. Guru mengarahkan beberapa murid memainkan peranan sebagai tuan rumah dan tetamu yang datang ke rumah untuk beraya bersama-sama. Dalam aktiviti ini akan memainkan ramai pelajar bagi mewujudkan suasana sebenar sesuatu perayaan. Penerapan adab budi pekerti melayan tetamu dan hormat menghormati amat ditekankan dalam aktiviti main peranan. Cara meminta maaf ketika hari perayaan agama juga akan ditekankan agar murid memahami pentingnya saling memaafkan antara satu sama lain.


Dengan terlaksananya perbincangan dalam kumpulan dan aktivit main peranan ini, maka guru telah berjaya memainkan peranan sebagai Mursyid iaitu melahirkan murid yang akan memimpin ahli keluarga supaya wujud keharmonian dan kesejahteraan dalam diri, keluarga dan Negara. Maka akan terlahirlah murid-murid yang bermoral seterusnya membentuk generasi yang berkualiti dan berwawasan.


3.2 Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga.


Dalam bidang yang berkaitan dengan diri dan keluarga ialah nilai kasih sayang terhadap keluarga, hormat dan taat kepada anggota keluarga dan tanggungjawab terhadap keluarga. Tujuannya supaya murid-murid dapat menghargai dan menghormati keluarga sendiri bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman.


Setiap guru boleh memainkan peranan penting sebagai Mu’allim, murabbi, Mudarris, Mu’addib dan Mursyid dalam pelaksanaan Pendidikan moral. Contoh pelaksanaan yang boleh dilakukan dalam salah satu nilai yang berkaitan dengan diri dan keluarga ialah nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga. Nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga adalah bagi memastikan murid-murid akan memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni. Guru sebagai penyampai ilmu (Mu’allim), Murabbi dan Mu’addib, guru perlu mendedahkan kepentingan ilmu pengetahuan hormat dan taat terhadap kelurga bagi menjadikan seseorang individu itu berpegang teguh dalam amalannya. Guru sebagai Mu’allim, Murabbi dan Mu’addib berperanan untuk menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Contohnya, guru perlulah menerangkan cara menghormati ibu bapa dan keluarga yang lebih tua, sebab-sebab perlunya hormat dan taat kepada keluarga, di mana ianya merupakan satu peringatan kepada murid pentingnya sesebuah keluarga itu hidup dengan harmoni.


Sebagai Mu’allim, Murabbi dan Mu’addib, guru perlulah menunjukkan contoh-contoh keluarga harmoni seperti tokoh-tokoh Negara atau kelurga guru itu sendiri sebagai contoh yang boleh dilihat sebagai idola yang terdekat. Penekanan nilai menghormati anggota keluarga serta perlunya mengeratkan ikatan kekeluargaan perlulah berterusan supaya dapat mengekalkan ikatan kekeluargaan. Kepentingan dan cara menghormati anggota keluarga seperti cara layanan bersopan-santun, saling kunjung-mengunjungi jika berlainan rumah, sentiasa bertanya khabar walaupun tinggal bersama perlulah digalakkan dipraktikkan selalu dalam kehidupan murid-murid. Guru adalah orang yang memainkan peranan untuk murid-murid akan merasakan “Rumahku, Syurgaku” dalam pelaksanaan nilai ini dalam pendidikan Moral.


Manakala dalam memperkembangkan kemahiran murid, guru sebagai Mudarris berperanan untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-muridnya. Kemahiran sosial murid-murid hendaklah diterapkan dalam proses untuk berkomunikasi di antara satu sama lain supaya dapat menonjolkan diri serta mewujudkan keberanian ketika berkomunikasi. Guru perlulah menimbulkan persoalan-persoalan yang menimbulkan perasaan ingin tahu sehingga murid-murid akan berfikir mengenainya dengan serius. Contohnya, kisah akibat anak yang derhaka dengan ibu bapa. Daripada kisah yang diketengahkan, murid-murid akan mula berfikir bahawa perbuatan yang baik dan buruk hendaklah difikirkan akibat dan kesan pada diri dan keluarga. Dengan ini, murid-murid akan merangsang minda mereka untuk berfikir ke arah lebih positif dan bersosial dengan cara yang betul.


Bagi memastikan dapat melahirkan generasi cemerlang, guru sebagai Mursyid akan membimbing murid-murid menghargai dengan apa yang mereka miliki iaitu keluarga mereka. Murid-murid perlulah disedarkan untuk mengenali salasilah keluarga mereka supaya berasa bangga terhadap keluarga mereka. Dengan ini murid-murid dapat melihat kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai dalam keluarga mereka. Murid-murid boleh membuat folio tentang salasilah keluarga yang disertakan sejarah kehidupan mereka.


Guru juga boleh membentuk kumpulan-kumpulan kecil untuk membincangkan cara mengeratkan perhubungan sesama anggota keluarga supaya mereka boleh mempraktikkan nilai ini dalam kehidupan mereka. Di sini, guru hendaklah memerhatikan aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan baik supaya hasilan perbincangan akan dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Dengan pelaksanaan nilai hormat dan taat kepada keluarga secara keseluruhannya akan berjaya melahirkan generasi yang bermoral pada masa akan datang.


3.3 Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat.


Dalam bidang yang berkaitan dengan bidang diri dan masyarakat pula ialah nilai tanggungjawab terhadap masyarakat, toleransi dalam masyarakat, semangat bermasyarakat dan peka terhadap isu-isu sosial. Tujuannya untuk melahirkan murid-murid yang bermoral dan menjadi kebanggaan masyarakat setempat dan Negara amnya.

Contoh pelaksanaan yang boleh dilakukan dalam salah satu nilai yang berkaitan dengan diri dan masyarakat ialah nilai semangat bermasyarakat. Nilai semangat bermasyarakat adalah untuk memastikan murid-murid pada masa hadapan tidak menjadi sampah masyarakat serta memalukan anak bangsa di masa hadapan. Guru sebagai penyampai ilmu (Mu’allim), Murabbi dan Mu’addib, guru perlu mendedahkan kepentingan ilmu pengetahuan tentang nilai hidup bermasyarakat dalam kehidupan. Murid-murid perlu didedahkan dengan persediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan untuk kepentingan bersama demi keharmonian hidup bermasyarakat.bagi menjadikan seseorang individu itu berpegang teguh dalam amalannya.


Guru sebagai Mu’allim, Murabbi dan Mu’addib berperanan untuk menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Semangat bermasyarakat boleh dilakukan dengan mewujudkan pelbagai aktiviti seperti bersukan untuk memupuk semangat kekitaan melalui aktiviti sukan yang dijayakan bersama. Penglibatan murid-murid dalam pelbagai aktiviti sukan di kawasan setempat seperti sukaneka, permainan-permainan atau larian jogathon merupakan salah satu cara membentuk semangat kemasyarakatan itu terbentuk. Guru haruslah menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan di kawasan setempat supaya nilai semangat bermasyarakat akan sentiasa tertanam dalam diri mereka. Ini dapat mengelakkan mereka menjadi seperti ‘kera sumbang’ dalam kelompok masyarakat sendiri.

Dalam peranan guru sebagai Mursyid dan Mudarris, guru akan bertanggungjawab memimpin murid-murid dan membimbing perjalanan rohani murid-murid ketika menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti sukan atau lawatan sambil belajar ke rumah-rumah kebajikan. Guru akan memantau tingkah laku murid melalui aktiviti kebajikan yang dirancang.

Contoh aktiviti yang terbaik dalam menerap nilai diri dengan masyarakat ialah lawatan-lawatan ke rumah-rumah kebajikan akan mendedahkan murid-murid erti kata menolong orang yang memerlukan bantuan seperti melakukan gotong-royong membersihkan persekitan rumah-rumah kebajikan tersebut bagi meringankan bebanan tugas mereka. Semangat bergotong-royong ini akan melahirkan perasaan rendah diri dan suka membuat kebajikan dalam diri murid-murid secara tidak langsung.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang bukan sahaja sekadar meringankan bebanan kerja, tetapi perancangan menghiburkan mereka juga boleh dilakukan dengan mengadakan persembahan-persembahan nyanyian bersama penghuni rumah kebajikan dan mengadakan perlawanan persahabatan dalam permainan dalaman atau luaran seperti catur atau bola sepak. Suasana begini akan merancang kemahiran murid-murid dalam berkomunikasi dan hubungan interpersonal mereka. Dalam semua aktiviti yang dirancang akan memberi impak yang besar dalam diri murid-murid kerana penglibatan secara terus akan memberi sesuatu pengalaman yang lebih mendalam daripada sekadar mempelajari teori sahaja. Dengan ini, matlamat untuk menjadi mereka satu generasi yahg bermoral dan berkualiti akan tercapai.

3.4 Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar.


Dalam bidang yang berkaitan dengan diri dan alam sekitar ialah nilai kebersihan dan keindahan persekitaran, menyayangi alam sekitar dan peka terhadap isu alam sekitar. Tujuannya untuk melahirkan murid-murid yang mencintai alam sekitar dengan mempertahankan ekosistem dunia dengan memelihara alam sekitar supaya dunia akan sentiasa terpelihara daripada pencemaran dan kemusnahan insan-insan yang tidak bertanggungjawab.


Contoh pelaksanaan yang boleh dilakukan dalam salah satu nilai yang berkaitan dengan diri dan alam sekitar ialah menyayangi alam sekitar. Nilai menyayangi alam sekitar adalah bagi memastikan murid-murid akan menghargai setiap perkara yang berkaitan dengan alam sekitar seperti menjaga tumbuh-tumbuhan, tidak melakukan kemusnahan alam dengan mengelakkan melakukan percemaran alam. Guru sebagai penyampai ilmu (Mu’allim), Murabbi dan Mu’addib, perlu mendedahkan kepentingan menyayangi alam sekitar, mencintai dan menghargai alam sekitar demi mengekalkan keharmonian hidup. Guru perlu mendedahkan murid-murid supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup mesra alam demi menjamin pemeliharaan persekitaran. Murid-murid perlu diberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti pemeliharaan persekitaran melalui gaya hidup mesra alam seperti penggunaan basikal untuk ke sekolah, penggunaan panel solar, menggalakkan penggunaan kenderaan awam dan berkongsi kereta bagi menggelakkan pembebesan gas monoksida yang berlebihan sehingga mengakibatkan lapisan ozon semakin nipis sehingga meningkatkan suhu dunia.


Guru sebagai Mu’allim, Murabbi dan Mu’addib perlu menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Contohnya, menimbulkan perasaan kasih sayang dengan alam sekitar dengan melakukan aktiviti mesra alam tersebut dengan menganggap alam sebagai rumah kesayangan mereka. Murid-murid juga perlu memikirkan kesan terhadap dunia ini sekiranya mereka tidak memelihara alam sekitar dengan baik.

Dalam peranan guru sebagai Mursyid dan Mudarris, guru akan bertanggungjawab memimpin murid-murid dan membimbing perjalanan rohani murid-murid untuk mencintai alam sekitar dengan mengadakan aktiviti penanaman pokok sebagai aktiviti mesra alam untuk memelihara persekitaran. Guru dan murid-murid akan bersama-sama menjalankan aktiviti ini di sekolah. Di samping menanam pokok, murid-murid akan juga terdedah dengan aktiviti mengenal dan memahami peranan tumbuhan-tumbuhan dalam ekosistem dunia. Pengalaman menanam pokok itu, akan menghasilkan perasaan sayang pada tumbuh-tumbuhan dan akan menghasilkan perasaan tanggungjawab dalam diri kanak-kanak apabila mereka juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga tumbuhan tersebut.

Di samping itu, murid-murid juga akan membuat buku skrap bertemakan mesra alam, di mana mereka akan berusaha mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam bahan-bahan terbuang seperti majalah-majalah lama atau surat khabar lama yang ada di rumah mereka. Mereka juga digalakkan melayari internet untuk mendapatkan bahan yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan. Melalui pengalaman membuat buku skrap ini, murid-murid akan dapat mengenal lebih banyak jenis tumbuhan yang terdapat di dunia dan secara tidak langsung ilmu pengetahuan mereka akan semakin bertambah. Di samping itu, aktiviti membuat buku skrap ini, dapat mewujudkan semangat bekerjasama di dalam kumpulan serta semangat toleransi antara ahli kumpulan.


Selain aktiviti penanaman pokok dan membuat buku skrap, guru juga boleh menganjurkan kem alam sekitar dan membuat kerja projek seperti membuat taman herbarium mereka. Melalui aktiviti ini, murid akan mengenali alam sekitar dengan melakukan penerokaan mereka sendiri di kem-kem yang dilawati seperti Hutan Simpan Negara yang mengandungi beribu jenis tumbuhan yang berlainan. Dengan ini perasaan menyayangi alam sekitar akan lebih berkesan dalam diri mereka dan matlamat untuk menjadi mereka satu generasi yahg bermoral dan berkualiti akan tercapai.


3.5 Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara.


Dalam bidang yang berkaitan dengan diri dan Negara ialah nilai hormat dan setia kepada pemimpin, Raja dan negara, patuh kepada peraturan dan undang-undang, cinta akan negara dan keamanan dan keharmonian. Tujuannya supaya murid-murid akan hormat dan setia yang berkekalan kepada pemimpin, Raja dan Negara bagi menjaga kestabilan keamanan Negara yang tercinta.


Contoh pelaksanaan yang boleh dilakukan dalam salah satu nilai yang berkaitan dengan diri dan Negara ialah nilai nilai hormat dan setia kepada pemimpin, Raja dan Negara. Nilai hormat dan setia kepada pemimpin, Raja dan Negara merupakan satu kepatuhan yang berkekalan kepada pemimpin dan raja serta setia kepada Negara di mana Raja sebagai payung Negara dan Institusi raja merupakan kemegahan kita. Guru sebagai penyampai ilmu (Mu’allim), Murabbi dan Mu’addib, perlu mendedahkan kepentingan mengenali dan hormati institusi raja dengan memberi pendedahan tentang Sejarah Kesultanan Melayu, sistem Raja Berpelembagaan dan Majlis Raja-Raja. Guru perlu menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Contohnya, menimbulkan perasaan kasih sayang terhadap pemimpin, raja dan Negara dan kesan-kesan negatif andainya perasaan tersebut diabaikan seperti berlakunya rusuhan dan Negara tidak akan aman sekiranya perasaan sayang pada Negara tidak wujud. Murid-murid juga perlu memikirkan kesan terhadap dunia ini sekiranya mereka tidak menyayangi dan taat kepada Negara, raja dan pemimpin.


Dalam peranan guru sebagai Mursyid dan Mudarris, guru akan bertanggungjawab memimpin murid-murid dan membimbing perjalanan rohani murid-murid untuk mencintai pemimpin, raja dan Negara. Aktiviti yang sesuai ialah dengan membuat buku skrap dengan mengumpul maklumat tentang sejarah Kesultanan Melayu dan membuat buku skrap tentang salasilah Yang Di Pertuan Agong hingga sekarang. Melalui aktiviti buku skrap yang dijalankan secara berkumpulan, murid boleh melakukan aktiviti itu dengan mencari bahan daripada muzium Negara dan internet.


Demi memberi kesan yang lebih baik, guru boleh membuat lawatan sambil belajar ke muzium Negara dan Perpustakaan Negara bagi mencari maklumat. Di samping itu murid dapat merehatkan fikiran dengan menyaksikan barang-barang bersejarah agar dapat menimbulkan perasaan bangga dengan sistem pemerintahan yang terdapat di Negara sendiri. Guru juga perlu membimbing murid membuat peta minda tentang peranan dan fungsi raja dalam sistem pemerintahan Negara supaya mereka sedar besarnya peranan pemerintahan raja pada kerajaan Melayu lama. Dengan demikian, murid-murid akan mengenali dan menghormati institusi raja yang terdapat di Negara.


Kesimpulan


Dalam membentuk generasi yang bermoral, tindakan tersebut hendaklah dilakukan bermula daripada awal. Ini bersesuaian dengan peribahasa “melentur buluh biar dari rebungnya”. Melalui Pendidikan Moral dan peranan yang dimainkan guru sebagai (Mu’allim), Murabbi, Mu’addib, Mursyid dan Mudarris pembentukan generasi yang bermoral pada masa akan datang akan berjaya terlaksana selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru berperanan untuk mengembangkan potensi insan yang berakhlak mulia, seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani (JERI).


Melalui peranan-peranan yang dimainkan guru dalam Pendidikan Moral dan pelaksanaan Pendidikan Moral dengan bidang pembelajaran yang berkaitan dengan nilai perkembangan diri, diri dan keluarga, masyarakat, alam sekitar dan Negara maka terbentuklah generasi yang bermoral pada masa sekarang dan pada masa akan datang. Di samping, aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dapat memberi sumbangan dalam membentuk kepribadian murid-murid tersebut.


Secara keselurahannya, guru akan berjaya melahirkan murid-murid yang berkeyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhanNya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara. Guru juga dapat membimbing, murid-murid yang dapat menghargai dan menghormati keluarga sendiri bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Di samping itu mereka akan kebanggaan masyarakat. Pendidikan Moral juga melahirkan murid-murid yang mencintai alam sekitar dengan mempertahankan ekosistem dunia dengan memelihara alam sekitar supaya dunia akan sentiasa terpelihara daripada pencemaran dan kemusnahan insan-insan yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya, lahirlah murid-murid yang akan hormat dan setia yang berkekalan kepada pemimpin, Raja dan Negara bagi menjaga kestabilan keamanan Negara yang tercinta


RUJUKAN :


Maznah Binti Abd. Samad, T.t. Peranan guru Pendidikan Moral di sekolah. Atas talian http://www.scribd.com/doc/

Saharudin Suhaidi, 2008. Pendidikan Moral tahun 4. Malaysia : Penerbit Open University Malaysia.

Rahmad Shukor, 2008. Pendidikan Moral 2003. Malaysia : Penerbit Open University Malaysia.

2000. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tahun 4. Kuala Lumpur : Penerbit Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

2000. Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tahun 4. Kuala Lumpur : Penerbit Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.


Ditulis bersama : Rozita & Noradibah Roslan (OUM 2008)

Saturday, July 25, 2009

Dibaca untuk mudah membaca dan menghafaz

Amalan penerang hati


Dibaca selepas setiap sembahyang fardhu :



Amalan Penenrang Hati


(Ayat di dalam kurungan 1) Dibaca 100 kali selepas sembahyang Subuh dan 33 kali selepas sembahyang yang lain.